Jual-beli secara online kini semakin popular di kalangan masyarakat kita. Mudah dan menjimatkan masa, ianya merupakan pilihan terbaik terutama bagi golongan bekerja yang rata-rata kesuntukan masa untuk membeli-belah secara tradisional dan membuat perbandingan dari kedai ke kedai.
Walaupun begitu, masih terdapat isu kepercayaan/ketidakpercayaan dalam transaksi sebegini disebabkan segala urusan berlaku secara maya semata lantas menyebabkan keraguan terutama jika melibatkan jumlah wang ringgit yang besar. Ikuti langkah-langkah ini untuk memastikan urusan jual-beli online pertama anda berjalan lancar dan berakhir dengan kegembiraan.
1. Kedai online menggunakan domain sendiri
Di kala terdapat begitu banyak platform menyediakan ruang blog niaga online secara percuma seperti blogspot, wordpress dan facebook. ini juga bermakna setiap Ali, Ah Meng dan Acappan juga boleh memulakan perniagaan mereka. Tapi adakah mereka ini boleh dipercayai? Adalah lebih baik keutamaan diberikan kepada pembelian melalui peniaga yang mempunyai domain sendiri seperti cadarmurah.com, saunarumah.com dan lain-lain berbanding acappan.blogspot.com. Ini kerana peniaga yang mengeluarkan duit untuk mendapatkan domain sendiri menampakkan kesungguhan dan serius untuk mempunyai ‘branding’ sendiri berbanding mereka yang hanya menggunakan platform percuma. Peniaga di platform percuma mungkin cenderung untuk meninggalkan perniagaan (dan pelanggan mereka) kerana tiada kos dilaburkan.
Sebagai contoh mudah, anda ingin membeli kain ela, jika terdapat peniaga tanpa gerai di tepi jalan (hanya membentangkan tikar) menjual kain, dan berhampiran dengannya terdapat seorang peniaga yang menjual kain yang sama tetapi menyewa kedai dan mempunyai papantanda perniagaan yang besar, yang mana jadi pilihan anda?
2. Mempunyai sistem katalog penjualan/pembelian yang teratur
Adalah disarankan membeli dari laman web yang menawarkan sistem katalog seperti shopping cart/form order/sistem2 lain. Ini adalah kerana sistem seperti ini membolehkan rekod pembelian seperti nama, alamat emel, alamat penghantaran dan lain-lain disimpan secara teratur. Malah sistem yang baik menawarkan keterangan produk yang jelas dan paparan gambar sekaligus memudahkan pengguna membuat pilihan sebelum membeli. Sistem ini turut memudahkan pelanggan membuat pembayaran.
3. Maklumbalas positif mengenai kedai online tersebut
Kebiasaannya kedai online yang baik mempunyai ruangan testimonial dan yang lebih canggih sedikit mempunyai ruangan bagi pelanggan meninggalkan maklumbalas selepas membuat pembelian. Jika tidak ada pun, di dalam era semua maklumat di hujung jari ini, anda boleh melakukan carian di enjin carian Google untuk membaca mengenai komen dan maklumbalas dari pelanggan terdahulu. Hanya taipkan nama kedai online tersebut dan komen serta pengalaman pelanggan terdahulu dapat dieprolehi dari sumber-sumber seperti forum, Facebook, blog, twitter dan lain-lain lagi. Harus diingat adalah mustahil untuk menjumpai 100% komen positif, namun memadai jika jumlah maklumbalas negatif jauh lebih sedikit sudah cukup untuk membuktikan kedai online tersebut boleh diharap.
4. Saluran komunikasi yang pelbagai
Kedai online yang baik akan menyediakan banyak medium untuk pelanggan bertanya lebih lanjut seterusnya berkomunikasi dengan mereka. Antara medium yang biasa ditawarkan adalah melalui emel, Facebook dan twitter, tapi adalah lebih baik jika nombor telefon dan faks turut diberikan. Juga ciri-ciri kedai yang baik mempunyai ruangan pengumuman atau blog di mana maklumat seperti produk terkini, kesuntukan stok, kelewatan penghantaran dan lain-lain disebarkan kepada pelanggan dan bakal pelanggan.
5. Mempunyai reputasi atau ‘nama’
Walaupun tidak wajib, namun adalah lebih baik jika kedai online yang anda kunjungi itu mempunyai reputasi atau nama yang dikenali ramai sama ada melalui artikel di dalam media ataupun mulut ke mulut. Atau paling tidak ianya disarankan sendiri oleh kenalan yang mempunyai pengalaman positif berurusan dengan kedai online tersebut. Ini membolehkan anda berasa lebih yakin untuk berpisah dengan wang anda dan membuat pembelian.
Diharapkan tips-tips ini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat urusniaga secara online. Selamat bershopping!