Si Manis Buah Ceri

Kehadirannya selalu diperlukan dalam hiasan kek atau biskut. Kemanisan rasanya menjadikan ceri, buah yang digemari ramai untuk dimakan mentah atau digunakan sebagai bahan serba guna dalam masakan.

Warna merah delima gelap dengan tangkai yang melengkuk anggun menjadikannya sangat menarik untuk dipandang.  Menurut Pakar Pemakanan, Indra Balaratnam, ceri adalah buah yang sihat dan lazat.

Ia kaya dengan antioksidan yang memainkan peranan dalam pencegahan penyakit berpunca daripada keradangan seperti penyakit jantung, artritis dan gout, apabila diambil sebagai sebahagian daripada diet yang sihat.

Ini adalah kerana ceri mengandungi sebatian yang terhasil secara semula jadi, dinamakan antosianin, yang berfungsi untuk menyekat peningkatan enzim yang menyebabkan kesakitan berpunca daripada keradangan.

Selain daripada antioksidan, ceri adalah juga sumber vitamin B, khususnya tiamin (B1), riboflavin (B2), niasin (B3), asid pantotenik (B5), B6 dan B12.  Vitamin B memainkan peranan aktif dalam metabolisme tenaga daripada makanan yang anda makan semasa penghadaman.

Vitamin B6 dan B12 khususnya amat penting dalam usaha mengekalkan tahap homosisteina yang sihat.  Jika dibiarkan terlalu tinggi, homosisteina boleh menjadi faktor risiko bagi penyakit jantung.

Satu lagi bahan yang terdapat secara semula jadi dalam ceri adalah melatonin.  Bahan ini juga dihasilkan secara semula jadi oleh manusia dalam otak kita, khususnya semasa gelap, untuk membantu kita mendapat ketenangan dan tidur dengan lena.

Bagaimanapun, dengan penggunaan semakin banyak cahaya tiruan daripada lampu yang dihasilkan oleh teknologi moden, sesetengah orang mungkin tidak dapat mengeluarkan cukup melatonin untuk tujuan ini.

Pakar mengesyorkan pengambilan ceri sebelum tidur untuk membantu menaikkan tahap melatonin untuk memberi ketenangan yang memudahkan anda tidur.

Ceri juga sedap dibuat minuman smoothie yang sesuai dinikmati sekeluarga. Idea untuk smoothie – Kisar ceri yang dibuang biji + betik + susu rendah lemak.

 

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.