Penting Komunikasi Dua Hala

Cuba tanya diri sendiri, berapa kali dalam sehari anda bercakap dengan anak-anak? Kesibukan tugas seharian di pejabat membuatkan kita letih dan adakalanya tiada ‘mood’ untuk bercakap.

“Mama, tadi kan Adam ambil botol air Ayesha. Lepas tu kan…dia..”

Mungkin itu antara dialog yang akan anda dengari apabila mengambil anak-anak pulang dari taska atau sekolah. Ada sahaja aduan dan laporan yang diberikan oleh mereka.

Ada ibu atau bapa yang tidak memberikan sebarang reaksi apabila si anak sibuk bercerita tentang perjalanan hidup mereka hari itu. Ada juga yang menyuruh si anak diam kerana enggan mendengar sebarang aduan lagi selepas penat di bekerja di pejabat.

Sedarkah kita sekiranya salah satu daripada cara tersebut di atas adalah tindak balas yang dilakukan, ia telah mematikan keinginan anak untuk bercakap.

Sebaliknya kita sentiasa mahu anak-anak mendengar dan patuh dengan percakapan atau arahan kita sebagai ibu bapa. Adilkah kita? Sebaiknya kita didik anak menerusi perilaku yang kita tunjukkan sebagai orang tua.

Sebaiknya komunikasi antara ibu bapa dengan anak perlu berlaku secara dua hala. Apabila anak bercerita tentang kisahnya yang dianggap sangat penting dalam hidupnya, dengarlah dengan penuh perhatian. Berilah tindak balas yang dapat merangsang keyakinan dirinya.

Percayalah secara automatik, anak-anak juga akan tahu memberi perhatian apabila ibu bapa bercakap dengan mereka. Mereka akan menghormati dan mendengar dengan sepenuh hati kerana belajar daripada model contoh mereka iaitu anda sendiri, ibu bapa mereka.

 

Petikan: Majalah Pama

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.