Memberi ubat kepada bayi kecil memang tugas yang renyah. Tangisan enggan minum ubat menyukarkan lagi tugas mama. Tetapi jangan hairan, ada juga bayi yang mudah menelan ubat yang disuap tanpa sebarang masalah. Dapatkan tip mudah memberi anak ubat seperti berikut.
*Apabila hendak memberi ubat kepada bayi, letakkan sehelai lapik dada pada dadanya sebagai persediaan sekiranya ubat itu tertumpah dan sediakan beberapa helai tisu.
*Sterilkan semua peralatan dalam air mendidih sebelum memberi ubat kepada bayi yang berusia kurang daripada enam bulan. Sekiranya bayi masih belum boleh duduk, pegangnya seperti kedudukan hendak menyusukannya.
*Sekiranya dia sudah boleh duduk, dudukkannya di atas riba dan letakkan sebelah tangannya ke belakang anda. Pegang tangannya yang sebelah lagi dengan kemas untuk mengelakkan daripada meronta.
*Sukat dos yang tepat dan tuang separuh daripadanya ke dalam sudu kecil yang sudah disteril supaya ubat tidak akan mudah tertumpah.
*Jika bayi enggan mengambil ubat, biarkan dia menghisapnya dari jari anda. Sukat dos di dalam sudu ubat dan kemudian angkat bayi dengan meletakkan sudu itu berhampiran dengan anda.
*Celupkan jari anda ke dalamnya dan biarkan dia menghisap ubat tersebut dari hujung jari. Teruskan sehingga dia menghabiskan semua dos ubat tersebut.
Petikan: Majalah PaMa